Rabu, 21 Mei 2014

Ilmiah


BSS3073
KESUSASTERAAN MELAYU
DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN

TUGASAN KUMPULAN :

NILAI-NILAI MURNI DALAM
GENRE SASTERA MELAYU TRADISIONAL


Disediakan Oleh:

Bil
Nama
No. Matrik 
Program
1
Norshahika Binti Hashim
D20111047526
ISMP BM
2
Sutra Binti Hasaiuddin
D20111047529
ISMP BM
3
Anis Izwani Binti Md Radzi
D20111047585
ISMP BM
4
Nur Fatin Shamimie Binti Mohd Zuki
D20111047602
ISMP BM
5
Siti Norsalual Binti Abdul Malik
D20111047614
ISMP BM
6
Luqmanulhakim Bin Mohamed
D20111048463
ISMP SEJARAH


Pensyarah
DR. NORAZIMAH BINTI ZAKARIA

IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
JABATAN BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU
FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Semester 2 Sesi 2013/2014




             1.0              PENGENALAN
Sastera penting dalam kehidupan kita. Menurut Harun Mat Piah, (1993) kesusasteraan Melayu tradisional merujuk kepada karya yang mempunyai ciri-ciri seperti bersifat kolektif dan dianggap sebagai milik bersama masyarakat. Hal ini membuatkan kebanyakan karya yang dijumpai tidak dinyatakan nama penulis atau pengarang. Antara karya sastera ialah novel, cerpen, peribahasa, teka-teki, sajak dan sebagainya. Karya-karya ini mengandungi nilai-nilai kehidupan tersendiri seperti kasih sayang, hormat-menghormati, kerjasama, bertanggungjawab dan sebagainya.
            Karya-karya sastera terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sastera lisan, sastera tulisan dan sastera bertulis. Antara karya yang tergolong dalam sastera lisan ialah peribahasa, pantun, mentera, teromba, gurindam, seloka dan teka teki. Antara karya yang tergolong dalam sastera tulisan pula ialah novel, cerpen dan drama. Sastera bertulis berbentuk bukan cerita pula ialah esei dan sajak. Karya-karya sastera adalah menawan hati dan menyentuh perasaan terharu, sedih, ngeri, gembira dan sebagainya. Hasil-hasil karya sastera yang bermutu adalah meletakkan setiap perkataan pada tempatnya yang terdapat dalam sesuatu ayat dan sesuai bunyinya mengikut tatabahasa.
            Peranan sastera terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina ‘modal insan’ yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara. Kita tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak atau mengambil keputusan. Apa yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin yang bermoral, ada jati diri dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin yang tidak berjiwa tersebut, merupakan manusia yang hilang pertimbangan ketika bertindak. Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan menyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan sebenarnya terkandung dalam sastera.
            Pada  peringkat sekolah kesusasteraan Melayu memainkan peranan sebagai satu cabang ilmu dan senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi pelajar didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan. Oleh itu, setelah mendapat tugasan untuk mengajar sekolah rendah, jadi kami memilih genre pantun kanak-kanak, lagu kanak-kanak, cerita jenaka, cerita teladan, cerita binatang dan puisi kanak-kanak dalam melaksanakan tugasan ini.

2.0       PANTUN KANAK-KANAK

Pantun ialah puisi tradisional Melayu turun-temurun yang tertua di dalam budaya Melayu. Pantun berbeza berbanding dengan syair. gurindam, seloka, rubai, ghazal dan sebagainya kerana mempunyai kedudukan tersendiri sebagai alat untuk menyatakan hajat, pembayang niat, bunga istiadat, pembuka kata, penamat bicara, pengucapan rindu dagang yang merantau. Karya klasik Melayu ini mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Di sebalik nilai tersebut terdapat pula maksud yang tersirat atau abstrak dan memerlukan kajian yang mendalam untuk memahami maksud di sebaliknya. Sebagai generasi baru, kita hendaklah sentiasa melakukan kajian tersebut agar nilai-nilai yang terdapat dalam karya klasik Melayu tidak pupus di telan zaman.

Tema : Buah-buahan
Isinya putih kulitnya berduri,
Durian dicari sampai Kelantan;
Hati bersih wajah berseri,
Baik budi jadi ikutan.

Manis buah longan,
Beli di Kedai Payang;
Kakak ringan tangan,
Tentu ibu sayang.

Manis nanas dimakan unggas,
Kupas sebiji dibuat halwa;
Badan sihat otak pun cerdas,
Rajin mengkaji kitab dibawa.

Manis ciku dimakan burung,
Burung jelantik terbang ke hulu;
Manis cikgu berbaju kurung,
Tambah cantik senyum selalu.

Tolong kaitkan kelapa sebiji,
Air kelapa menghilang dahaga;
Cergas bersukan pandai mengkaji,
Jadi juara guru pun bangga.

Bau semerbak serata rumah,
Nangka masak sudah dibelah;
Ayah baik ibu pun ramah,
Kami hormat jiran sebelah.

Dikait jatuh sejolok gugur,
Merah merekah buah delima;
Anak patuh nakal ditegur,
Nasihat ayah saya terima.

Nilai-Nilai Murni :

1.      Baik Hati
Nilai murni yang ada pada rangkap pertama pantun ini ialah baik hati. Penulis menyeru kepada kita supaya sentiasa melakukan sesuatu yang baik supaya dapat dijadikan teladan kepada orang lain.

2.      Kerajinan
Nilai kerajinan terdapat dalam rangkap kedua dan ketiga. Nilai kerajinan yang ditonjolkan pada rangkap kedua ini menunjukkan sikap yang perlu ada pada setiap anak di dalam sesebuah keluar. Anak seharusnya rajin membantu ibu bapa untuk meringankan bebanan mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau tanggungjawab.

3.      Kesopanan
Nilai kesopanan terdapat dalam rangkap keempat pantun ini. Kesopanan merupakan budaya bangsa Melayu yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan kita. Justeru, melalui pantun ini, guru dapat mengajar murid mengenai nilai kesopanan dalam kehidupan terimanya dari segi pakaian.

4.      Hormat-Menghormati
Pada rangkap keenam pantun ini, penulis menonjolkan nilai hormat-menghormati sesama masyarakat. Penulis mengetengahkan hubungan persaudaraan antara jiran tetangga. Amalan hormat-menghormati perlu dipraktikkan kepada anak-anak supaya dapat mewujudkan suasana yang harmoni.

5.      Ketaatan
Pada rangkap terakhir pantun ini, penulis ingin menekankan nilai ketaatan kepada ibu bapa. Guru perlu kreatif untuk menerapkan nilai ini dalam diri kanak-kanak. Melalui penggunaan contoh orang yang dekat dengan murid, jadi murid mudah faham dan dapat mengamalkannya. Ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan kanak-kanak.

Pantun Tahun 1
Pantun Nasihat

Pisang emas di bawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar.
Hutang budi dibawa mati.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Ambil buah mempelam,
Simpan dalam raga;
Belajar dalam diam,
Ilmu simpan di dada.

Pokok mangga tidak berbuah,
Pokok ada di tepi kota;
Ibu bekerja menuai di sawah,
Mencari beras untuk kita.

Buah manggis buah duku,
Dalam raga di atas meja;
Adik suka membaca buku,
Kakak tolong emak kerja.

Nilai-Nilai Murni  :

1.      Mengenang Budi
Sememangnya telah menjadi lumrah dalam kehidupan bahawa setiap orang perlu mempunyai sifat mengenang budi. Sebagai masyarakat yang saling bergantung, nilai mengenang budi perlu diamalkan dalam kehidupan seharian. Rangkap pertama dalam pantun ini, penulis menjelaskan bahawa setiap pertolongan yang diberikan kepada kita perlu diingati sehingga akhir hayat.

2.      Kerjasama
Nilai kerjasama dapa dilihat pada rangkap kedua pantun ini. Penulis menonjolkan nilai kerjasama sesama manusia dalam melakukan sesuatu perkara.

3.      Rendah Diri
Penulis menyatakan bahasa setiap orang perlu mempunyai sifat merendah diri terutamanya mereka yang mempunyai banyak ilmu atau berpelajaran tinggi. Jangan sesekali sombong diri dan memandang orang yang tidak berpelajaran itu tidak bagus.

4.      Menghargai
Pada rangkap keempat, penulis mengetengahkan nilai menghargai melalui jasa ibu bapa. Sebagai seorang anak, telah menjadi kewajipan kepada kita untuk menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa.

5.      Tolong-Menolong
Nilai tolong-menolong pada rangkap kelima. Nilai kerjasama perlu wujud dalam diri kita terutamanya dalam hubungan kekeluargaan. Tolong-menolong antara satu sama lain perlu dipraktikkan dalam setiap keluarga.

Pantun Tahun 2
Pantun Nasihat

Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi,
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai menjaga hati.

Daun sireh ulam Pak Uda,
Makan bersama dengan  Tok Edi,
Walaupun banyak ilmu di dada,
Biar merunduk resmi padi.

Buah pegaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu,
Sebarang kerja hendaklah difikir,
Supaya jangan mendapat malu.
Pakai baju berwarna biru,
Pergi ke sekolah pukul satu,
Murid sentiasa hormatkan guru,
Kerana guru pembekal ilmu.

Budak-budak berkejar-kejar,
Rasa gembira bermain di sana,
Kalau kita rajin belajar,
Tentu kita akan belajar.

Buah cempedak bentuknya bujur,
Sangat disukai oleh semua,
Jika kita bersikap jujur,
Hidup kita dipandang mulia.

Nilai-Nilai Murni :

1.      Rendah Diri
Terdapat nilai rendah diri pada rangkap pertama dan kedua pantun ini. Bagi mencapai kejayaan dalam hidup, sifat rendah hati perlu diamalkan dalam diri setiap individu. Sifat sedia mendengar, tidak sombong, dan tidak ego perlu diterapkan dalam diri kerana masyarakat akan menghargai orang yang sentiasa merendah diri.

2.      Rasional
Nilai rasional pada rangkap ketiga pantun ini menunjukkan bahawa setiap sesuatu perkara yang ingin dilakukan perlulah difikirkan dahulu berasaskan pertimbangan yang wajar agar tidak mendatangkan masalah dan kerugian kelak.

3.      Hormat-Menghormati
Nilai menghormati guru sudah semestinya menjadi amalan utama yang perlu dipupuk dalam diri kanak-kanak. guru merupakan insan yang mendidik kita selain dari ibu bapa.  Justeru, penghormatan perlu diberikan kepada mereka semasa kita masih bersekolah dan telah berjaya kerana tanpa guru, kita tidak akan berjaya. Nilai ini dapat dilihat pada rangkap keempat.

4.      Kerajinan
Pada rangkap kelima, penulis mengetengahkan nilai kerajinan. Sebagai seorang pelajar usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan berdaya maju perlu ada dalam melakukan sesuatu perkara.

5.      Kejujuran
Kejujuran merupakan nilai yang ditonjolkan pada rangkap keenam pantun ini. Kita perlu menunjukkan sikap dan perlakuan yang baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan. 

Pantun Tahun 3
Pantun Budi
Tinggi bukit gilang-gemilang,
Air laut tenang-tenangan;
Budi sedikit tidakkan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Biarlah orang bertanam buluh,
Mari kita bertanam padi;
Biarlah orang bertanam musuh,
Marilah kita bertanam budi.

Tenanglah tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Cindai bercorak penuh berpita,
Pakaian anak Panglima Garang;
Emas dan perak pengaruh dunia,
Budi yang baik dijunjung orang.

Kalau keladi sudah ditanam,
Jangan lagi meminta talas;
Kalau budi sudah ditanam,
Jangan lagi meminta balas.

Jauh sungguh pergi mandi,
Setapak jalan lewatkan huma;
Berat sungguh menanggung budi,
Seribu tahun takkan lupa.

Ragi pulut dalam kati,
Tapai manis dalam kuali;
Selagi hidup dalam pekerti,
Sampailah mati dalam budi.

Nilai-nilai murni :

1.      Mengenang Budi
Berdasarkan rangkap pertama, kedua, keempat, kelima, keenam dan ketujuh,  penulis menonjolkan nilai mengenang budi. Apabila ada orang yang menabur jasa kepada kita, kita wajib mengenang jasa atau budi orang tersebut walaupun orang itu telah tiada.

2.      Menghargai
Nilai menghargai terdapat pada rangkap ketiga pantun ini. Kita perlu menghargai jasa yang telah diberikan, walaupun hanya dengan ucapan terima kasih.

3.      Rendah  Diri
Untuk maju, sifat rendah hati juga perlu diamalkan dalam diri setiap rakyat. Sifat sedia untuk mendengar, tidak sombong, tidak ego dan tidak bongkak perlu diterapkan dalam diri kerana sesungguhnya Masyarakat Malaysia menghargai orang yang merendah diri.

Pantun Tahun 4
Pantun Nasihat

Pergi mendaki Gunung Daik,           
Hendak menjerat kancil dan rusa;        
Bergotong-royong amalan yang baik,
Elok diamalkan setiap masa.

Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi                   
Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da      
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

Hendak belayar ke Teluk Betong           
Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung             
Bulat manusia kerana muafakat  

Pakai baju warna biru          
Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Nilai-Nilai Murni :

1.      Kerjasama
Usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan bersama dan perpaduan.

2.      Rendah Diri
Untuk maju, sifat rendah hati juga perlu diamalkan dalam diri setiap rakyat. Sifat sedia untuk mendengar, tidak sombong, tidak ego dan tidak bongkak perlu diterapkan dalam diri kerana sesungguhnya Masyarakat Malaysia menghargai orang yang merendah diri.

3.      Bermuafakat
Kita perlu bermuafakat dalam semua hal memandangkan kita hidup dalam masyarakat yang majmuk. Kerjasama, tolong-menolong dan bersatu hati perlu diamalkan bagi mewujudkan sesebuah masyarakat yang harmoni.

4.      Hormat- Menghormati
Kita harus memberi hormat kepada sesiapa sahaja yang lebih dewasa daripada kita termasuklah ibu bapa, dan guru-guru.

Pantun Tahun 5  
Pantun Nasihat

Budak-budak berkejar-kejar,
Rasa gembira bermain di sana;
Kalau kita rajin belajar,           
Tentu kita akan berjaya .

Pergi ke sawah menanam padi,
Singgah di sungai menangkap ikan;
Hidup hendaklah bersendikan budi,
Sifat sombong jangan amalkan.

Parang tajam tidak berhulu,  
Buat menetak si pokok Ru;
Bila belajar tekun selalu,      
Jangan ingkar nasihat guru.

Pergi ke kedai naik beca,
Beca dinaik bersama tamu;
Rajin-rajin adik membaca,
Membaca baik menambah  ilmu.

Pagi – pagi mendengar cerita,
Cerita dari cikgu Rohaya;
Hidup kita punya cita-cita,
Untuk berjasa dan berjaya.

Adik ke kedai membeli halia,
Emak memesan membeli laksa;
Jadilah insan berhati mulia,
Baik hati berbudi bahasa.

Nilai-Nilai Murni :

1.      Kerajinan
Kita perlu tekun dan tekal dalam usaha mencapai cita-cita agar kita memperoleh kejayaan.


2.      Rendah Diri
Untuk maju, sifat rendah hati juga perlu diamalkan dalam diri setiap rakyat. Sifat sedia untuk mendengar, tidak sombong, tidak ego dan tidak bongkak perlu diterapkan dalam diri kerana sesungguhnya Masyarakat Malaysia menghargai orang yang merendah diri.

3.      Berbudi
Kita perlu menghargai jasa yang telah diberikan, walaupun sekadar dengan ucapan terima kasih.

4.      Ketaatan
Nilai ketaatan perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat tidak kira orang muda atau orang tua. Tetapi sebagai orang muda, terutamanya kanak-kanak, kita wajib mentaati orang tua dan kedua-dua ibu bapa kita.

5.      Baik Hati
Kita harus sentiasa baik hati terhadap sesiapa sahaja supaya perhubungan baik dan telus dapat terjalin .

Pantun Tahun 6
Pantun Nasihat

Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik           
Hendak menjerat kancil dan rusa      
Bergotong-royong amalan yang baik
Elok diamalkan setiap masa


Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi              
Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da  
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendak difikir      
Supaya jangan mendapat malu

Nilai-Nilai Murni :

1.      Rendah Diri
Untuk maju, sifat rendah hati juga perlu diamalkan dalam diri setiap rakyat. Sifat sedia untuk mendengar, tidak sombong, tidak ego dan tidak bongkak perlu diterapkan dalam diri kerana sesungguhnya Masyarakat Malaysia menghargai orang yang merendah diri.

2.      Kerjasama
Kita patut bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan supaya dapat mencapai matlamat yang ingin diimpikan.

3.      Rasional
Kita patut berfikiran rasional sebelum mengambil apa-apa tindakan yang selanjutnya supaya mengelakkan diri daripada terjebak dengan pelbagai masalah.


                 3.0              LAGU KANAK-KANAK

Memandangkan muzik kian menjadi satu aspek yang tidak dapat dipisahkan dalam era ini (setiap hari kita pasti akan didedahkan kepada muzik tanpa disedari, biarkan daripada siaran radio, ataupun iklan-iklan elektronik), masyarakat kini pasti diperkenalkan dan diajarkan lagu kanak-kanak pada masa kecil. Lagu-lagu ini biasanya tidak akan dilupakan walaupun seseorang itu telah menjadi tua kerana lagu-lagu ini membawa nostalgia dan memori yang berharga kepada setiap orang.
            Lagu kanak-kanak merupakan lagu yang dinyanyikan ataupun diajarkan kepada anak-anak oleh orang dewasa, terutamanya ibu-bapa. Irama lagu-lagu genre ini mudah diingati dan berulang-ulang. Lagu-lagu ini biasanya mempunyai rentak yang pantas dan 'lively', iaitu meriah. Lagu seperti ini adalah untuk mengajar kanak-kanak mengenali perkataan yang mudah dan membuka mulut untuk menyanyi. Biasanya, lirik lagu jenis ini ialah sebuah cerita. Terdapat juga yang membawa pengajaran ataupun nasihat kepada golongan yang muda, tetapi kebanyakannya tiada maksud yang penting, hanya digubah untuk hiburan.

Lagu Kanak-kanak

BANGUN PAGI
Bangun pagi gosok gigi,
Cuci muka terus mandi,
Pakai baju minum susu,
Salam ayah dan ibu,

Pergi sekolah jalan kaki,
Jumpa cikgu depan pintu,
Selamat pagi Cikgu Sa’amah,
Selamat pagi Cikgu Aishah,

Rajin belajar cikgu ajar,
Pandai tulis, pandai lukis,
Pandai nyanyi, baca buku,
Semua orang suka hati,

Kalau kita rajin usaha,
Ibu bapa gembira,
Mari kawan sama-sama,
Pasti kita berjaya.

Nilai:
1.      Rajin
Lagu ini mengandungi nilai rajin. Nilai ini perlu diterapkan dalam diri manusia sejak kecil lagi. Kita juga perlu mengamalkan nilai kerajinan. Sikap rajin akan membolehkan kita mencapai impian dan cita-cita kita. Contohnya, jika kita rajin dalam pekerjaan yang kita lakukan, kita pasti akan cepat dinaikkan pangkat dan mendapat gaji yang lumayan. Oleh itu, jika semua rakyat Malaysia rajin bekerja, pasti Malaysia akan menjadi negara yang maju seperti negara Jepun.

2.      Berdisiplin
Berdisiplin merangkumi menepati masa dan janji. Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang dan mempunyai etika kerja dan profesionalisme  yang tinggi.

3.      Berdikari
Berdikari merupakan kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri.

4.      Menghormati
Lagu ini mengandungi nilai menghormati. Kita juga perlu mengamalkan nilai hormat-menghormati. Hormat-menghormati merupakan  menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.

IKAN KEKEK
Ikan kekek mak iloi, iloi,
Ikan gelama mak ilai, ilai,
Sungguh cantik adikku amboi,
Tapi Ketawa mengilai-ngilai.

Ikan kekek mak iloi, iloi,
Ikan gelama mak ilai, ilai,
Kalau adik nak jadi pandai,
Mari belajar, janganlah lalai.

Ikan kekek hoi!

Nilai
1.      Kesungguhan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kesungguhan merupakan perihal bersungguh-sungguh, kebulatan hati, minat serta ketekunan (melakukan sesuatu), ketulusan.

2.      Rajin
Kerajinan merupakan usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara; terjelma melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.

ANAK RUSA NANI
Anak rusa nani,
Baru kembang ekor,
Apa salah kami,
Lalu tidak tegur,

Anak rusa nani,
Baru pandai jalan,
Apa salah kami,
Harap di maaf kan.. 

Nilai :
1.      Berhemah tinggi
Berhemah tinggi merupakan beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian. Berbudi pekerti dengan tingkah laku mulia dan lemah lembut yang patut diamalkan oleh seseorang individu dalam hubungannya dengan ahli masyarakat yang lain. Ciri-ciri berhemah tinggi adalah kesopanan, mengakui kesalahan dan ramah mesra.

2.      Baik hati
Baik hati merupakan sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk orang lain. Ini meliputi aspek belas kasihan, bertimbang rasa, murah hati, saling faham memahami dan sedia memaafkan.

LOMPAT SI KATAK LOMPAT
Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Cepatlah adik cepat
Cepatlah bangun pagi-pagi

c/o:
Kalau adik malas lagi
Malas bangun pagi
La la la la la la la ( 2x)
Nanti kita rugi. 

Nilai :
1.      Berdisiplin
Berdisiplin merupakan patuh dan mengamalkan secara berterusan segala arahan, peraturan dan ketetapan yang ada dalam pelbagai keadaan.

BUNYI JAM
Tik tok tiki tiki tok
Bunyi jam di dinding rumahku
Tik tok tiki tiki tok
Masa terus berlalu
Belajar bermain masanya tertentu

Tra la la tra la la
Tra la li tra la la
Tra la lu tra la lu
Aku belajar selalu

Tik tok tiki tiki tok
Bunyi jam mengingatkanku
Tik tok tiki tiki tok
Masa terus berlalu.

Nilai:
1.      Berdisiplin
Berdisiplin merupakan mengenal diri dengan cara menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang.



2.      Menghargai masa
Menghargai masa merupakan menggunakan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Mengisi masa secara berfaedah dengan menepati waktu dan menyegerakan sesuatu tugasan.

SAYANG KELUARGA
Satu satu saya sayang ibu
dua saya sayang ayah
Tiga tiga sayang adik kakak
1 2 3 sayang semuanya.

NILAI :
1.      Kasih sayang
Kasih Sayang merupakan perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu; termasuk sayang atau cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.

RAJIN ADIK RAJIN
Rajin adik rajin
Rajinlah belajar
Bila besar nanti
Boleh tunjuk ajar
Ayah juga ibu
Gembira selalu
Melihat adikku
Rajin baca buku

Nilai :
1.      Kerajinan
Kerajinan merupakan usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi, dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.

2.      Kasih sayang
Kasih sayang merupakan kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.

PONDOK DI HUTAN 
Sebuah pondok di dalam hutan,
Si anak rusa di tingkap memandang,
Seekor arnab berlari-lari,
Mengetuk pintu,

” tolong-tolong” katanya
”Si pemburu nak tembak saya”

Mari masuk ke dalam
Bersuka ria..

NILAI :
  1. Tolong-menolong
Tolong menolong merupakan satu keperluan dalam kehidupan kita.  Sebagai manusia yang mempunyai kemampuan yang berbeza-beza, kelebihan kita dalam suatu perkara dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan orang lain yang memerlukan.  Begitu juga kelebihan orang lain akan memberi kebaikan kepada kita.  Untuk mewujudkan hubungan yang harmoni dan saling lengkap-melengkapi sesama manusia maka manusia memerlukan antara satu sama lain.  Jadi antara konsep penting yang perlu ada dalam perhubungan sesama manusia ialah tolong-menolong.  Dalam kamus Dewan Edisi Keempat konsep pertolongan ini membawa maksud bantu-membantu, saling membantu. 

DENGAR PESANAN
Dengar pesan ibu
Dengar pesan Ayah
Rajin baca buku
Rajin ke sekolah

Dengar pesan guru
Buat kerja rumah
Balik tolong ibu
Juga tolong ayah ( 2x)

NILAI :
  1. Kerjasama
Kerjasama merupakan usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan.


  1. Hormat menghormati dan ketaatan
Nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga juga perlu diamalkan. Anak-anak hendaklah manghormati suruhan ibu bapa dalam urusan keluarga di rumah. Anak-anak juga mesti mematuhi peraturan yang ada dalam keluarga seperti peraturan tentang masa pulang ke rumah. Jika ada tetamu datang ke rumah, anak-anak mesti menghormati tetamu tersebut. Jika ibu bapa memarahi anak-¬anak tentang sesuatu perkara pula, anak-anak mesti berfikiran positif dan memohon maaf di atas kesalahan yang telah dilakukan.

              4.0              CERITA JENAKA

Cerita jenaka Melayu merupakan salah satu daripada genre Sastera Rakyat. Setiap bangsa di dunia ini mempunyai cerita-cerita jenaka yang tersendiri. Cerita jenaka ini dikenali dengan istilah-istilah seperti tall tales, droll tales dan lain-lain lagi. Cerita-cerita jenaka bagi semua bangsa di dunia ini mempunyai persamaan pada motif , isi cerita, maksud dan juga bentuk cerita. Cerita jenaka ialah cerita yang mengandungi unsur-unsur humor atau unsur lucu. Cerita jenaka ini biasanya mempunyai maksud hiburan, petunjuk, sindiran dan lain-lain.
            Cerita-cerita jenaka juga memerlukan watak utama yang menggambarkan sifat yang bercorak keterlaluan dalam perbuatannya seperti terlalu pintar dan terlalu bodoh. Ia akan menimbulkan rasa geli hati dalam kalangan pendengarnya. Watak-watak lucu yang biasanya terdapat dalam cerita jenaka Melayu terdiri daripada watak orang biasa dalam melambangkan watak yang wujud dalam masyarakat Melayu tradisional. Antara watak yang biasanya diketengahkan dalam cerita jenaka ialah watak Lebai Malang, watak Pak Pandir, watak Pak Kaduk, watak Si Luncai dan juga Pak Belalang.

Pak Belalang

Pada suatu hari, seorang juragan datang ke negeri Raja Indera Maya. Beliau datang dari sebuah negeri ke negeri dengan membawa anak itik yang baharu sahaja menetas. Beliau meminta dikenalkan jantan betina anak-anak itik itu dengan hasratnya negeri Raja Indera Maya diserahkan kepadanya jikalau Raja gagal untuk kenalkan jantina anak itu. Tiga buah kapal si juragan akan diberikan kepada Raja Indera Maya kalau berjaya mengenalkan jantinanya. Raja Indera pun memanggil Ahli Nujum Belalang untuk menolongnya . Setelah Ahli Nujum Belalang mendengar titah baginda , dia termenung seketika. Pak Belalang meminta diberikan tempoh tiga hari untuk mencari jawapannya. Dua hari pun telah berlalu. Pada malam hari kedua itu, Pak Belalang berkayuh dekat-dekat kapal juragan untuk mendengar perkhabaran itik itu. Isteri Juragan bertanya kepada suaminya untuk bagaimana untuk mengenal pasti jantina anak itik itu. Juragan memberitahunya bahawa kalau kedua-dua itik itu dilepaskan di dalam terenang yang dipenuhi air, itik yang menyelam dahulu ialah betina. Pak Belalang sangatlah suka hati setelah mendengar percakapan suami isteri itu. Pada hari ketiga pula, Ahli Nujum Belalang berjumpa dengan juragan. Dia pun memberitahu juragan cara-cara untuk mengenal pasti jantan betina itik itu. Juragan terperanjat lalu menyerahkan kapal-kapalnya kepada Raja Indera Maya. Juragan pulang dengan dukacita serta kesal mengkhabarkan rahsia itu kepada isterinya. 


Nilai-nilai murni :
  1. Taat perintah raja
Nilai yang terdapat dalam cerita Pak Belalang ialah nilai taat perintah raja. Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa di mana Pak Belalang di suruh oleh Raja supaya mencari tujuh peti harta yang hilang. Pak Belalang diberikan masa satu minggu untuk mencari peti-peti tersebut. Oleh kerana itu adalah perintah Raja maka Pak Belalang mengikuti perintah Raja. Selain itu, Pak Belalang juga di perintahkan untuk berlawan teka teki dengan Juragan yang membawa anak itik dan di suruh untuk mengenal yang mana betina yang mana jantan. Raja menitahkan Pak Belalang untuk menjawab teka-teki itu. Maka Pak Belalang menurut perintah Raja Indera Maya untuk menjawab teka-teki Juragan. Di sini dapat dilihat bahawa Pak Belalang seorang yang taat perintah raja.  
  1. Yakin diri
Nilai yakin diri yang terdapat dalam cerita Pak Belalang dapat dilihat dalam peristiwa di mana dia begitu yakin memberitahu di mana harta-harta Raja Indera Maya yang hilang. Dalam peristiwa ini dapat dilihat bahawa Pak Belalang begitu yakin kerana sememangnya dia telah tahu di mana harta tersebut berada. Hal ini kerana, pencuri-pencuri tersebut telah bersembunyi di bawah rumah Pak Belalang dan mendengar kata-kata Pak Belalang soal nyawa pada masa yang sama nama pencuri tersebut adalah nyawa lalu pencuri itu takut terus berjumpa dengan Pak Belalang dan mengakui kesalahannya. Pencuri tersebut telah memberitahu keberadaan harta-harta Raja Indera Maya yang disembunyikan oleh pencuri tersebut. Pak Belalang dengan yakinnya mengadap Raja Indera Maya lalu memberitahu di mana harta baginda.

  1. Bertimbang rasa
Nilai yang terdapat dalam cerita Pak Belalang ialah nilai bertimbang rasa. Ini dapat digambarkan dalam peristiwa di mana Raja Indera  Maya bersimpati dengan nasib Juragan yang kalah dalam pertaruhan. Oleh itu, Raja Indera Maya telah membekalkan tiga buah perahu dan bekalan yang mencukupi bagi membolehkan Juragan dan anak-anak kapalnya pulang ke tempat asal mereka.
  1. Bertawakal
Nilai tawakal dapat dilihat di dalam peristiwa di mana datang Juragan yang membawa 3 ekor anak itik yang baru menetas dan disuruh meneka yang mana jantan dan yang mana betina. Oleh itu, Raja Indera Maya telah bertitah supaya ahlil nujum Pak Belalang meneka yang mana satu betina dan yang mana satu jantan. Apabila Raja Indera Maya menyuruh Pak Belalang menekanya, Pak Belalang telah bertawakal, menyerah diri kepada Tuhan kerana takut budi pembohongan dia akan di ketahui oleh Raja Indera Maya dan mereka sekelurga akan dihukum bunuh sekiranya perkara itu berlaku.
  1. Bersifat penyayang
Dalam cerita Pak Belalang, sifat penyayang dapat dilihat di mana Pak Belalang sangat menyayangi anaknya itu Belalang. Belalang selalu membantu bapanya dalam kesusahan. Belalang seorang anak yang baik dan bijak. Dia sering membantu ayahnya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh bapanya apabila berdepan dengan Raja Indera Maya. Oleh itu, Pak Belalang sangat menyayangi Belalang kerana telah banyak membantu dia dalam menyelesaikan banyak perkara.

Pak Kaduk

 Kisah ini berlaku di negeri Chempaka Seri, yang diperintahkan oleh raja yang bernama Indera Sari. Kegemaran baginda ialah menyabung ayam. Oleh sebab itu, banyaklah rakyat dalam Negara baginda yang suka membuang masa untuk berjudi dan menyabung ayam. Dalam negeri Chempaka Seri, terdapat sepasang suami isteri yang miskin bernama Pak Kaduk dan Mak Siti. Pak Kaduk ingin mencuba nasib untuk mempertarungkan ayam sabungnya dengan ayam sabung raja. Pak Kaduk menyuruh isterinya membuat baju daripada kertas. Oleh sebab ingin cepat siap, Pak Kaduk meminta Mak Siti melekatkan bahagian-bahagian baju itu saja. Di gelanggang tempat menyabung ayam, raja terlihat akan Si Kunani, ayam sabung kepunyaan Pak Kaduk yang sangat bertuah itu. Raja memujuk Pak Kaduk untuk bertukar ayam Si Kunani yang dikatakan kurang bertuah dengan Si Jalak, ayam sabung kepunyaan baginda. Tanpa berfikir panjang, Pak Kaduk bersetuju. Pak Kaduk juga menggadaikan kampong halamannya kepada raja dengan bernilai 50 rial sebagai wang pertaruhan. Perlawanan bermula. Pak Kaduk sangat gembira melihat ketangkasan Si Kunani. Si Kunani akhirnya menang. Pak Kaduk yang terlupa bahawa Si Kunani yang bukan miliknya, melompat-lompat kegembiraan sehingga tidak menyedari baju kertasnya telah terkoyak-rabak. Pak Kaduk akhirnya berlari pulang. Apabila sampai ke rumah, Pak Kaduk dimarahi isterinya.
Nilai-nilai murni :
  1. Rasional
Dalam cerita Pak Kaduk, nilai rasional dapat dilihat dalam peristiwa di mana Pak Kaduk telah menggadaikan kampungnya sebagai taruhan untuk menyabung ayamnya bersama ayam raja. Pak Kaduk tidak berfikiran rasional sebelum membuat keputusan. Ayamnya telah ditukar bersama ayam raja dan disitu telah menunjukkan kebodohan Pak Kaduk yang tidak berfikiran rasional. Dia hanya mengikut nafsunya yang ingin menyabung ayam. Dalam peristiwa ini dapat dilihat bahawa rasional sangat penting kerana jika kita tidak berfikiran rasional maka segala urusan kita tidak akan berjalan dengan lancar dan kita akan menjadi orang yang paling rugi seperti Pak Kaduk. Kita dapat lihat juga dalam Seloka Pak Kaduk di mana ia berbunyi ayamnya menang kampung tergadai.
  1. Adil
Raja yang memerintah mesti bersikap adil dalam memerintah dan tidak memperalatkan rakyat untuk kepentingan diri sendiri. Alam peristiwa menyabung ayam dapat dilihat bahawa raja tidak bersikap adil. Hal ini kerana, sebelum perlawanan bermula, raja dengan bijaknya mengatur strategi dan menukar ayamnya dengan ayam Pak Kaduk. Setelah itu, ayam yang ditukar bersama Pak Kaduk telah menang. Di sini dapat dilihat bahawa raja bersikap tidak adil dan memperalatkan rakyat demi kepentingan diri sendiri. Seharusnya, raja bersikap adil dan melindungi rakyat. Oleh itu, sikap adil perlu ada dalam diri semua orang tidak kira diri raja mahupun diri rakyat.
  1. Taat kepada perintah Allah
Dalam cerita Pak Kaduk dapat dilihat bahawa masyarakat pada masa itu suka menyabung ayam. Menyabung ayam adalah menzalimi binatang dan itu adalah di larang oleh Allah SWT. Allah tidak membenarkan manusia menzalimi binatang kerana binatang itu juga adalah makhluk Allah SWT. Pak kaduk telah menyabung ayamnya dengan ayam raja. Di sini dapat dilihat bahawa mereka tidak mentaati perintah Allah SWT. Oleh itu, mentaati perintah Allah sangat penting kerana kita akan mendapat keredhaan daripada-Nya jika kita mentaati perintah-Nya.
  1. Sabar 
 Isteri Pak Kaduk seorang yang penyabar. Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa di mana Pak Kaduk memarahi isterinya kerana lambat dalam menyiapkan baju kertasnya. Pak Kaduk menyuruh isterinya membuat baju dari kertas. Walaupun dimarahi oleh Pak Kaduk tetapi isterinya tetap sabar melayan kerenah suaminya.

5.0       CERITA TELADAN

Cerita teladan mengisahkan tentang golongan rakyat biasa dan berlatarkan alam nyata. Selain itu, unsur kesaktian dan keajaiban amat berkurangan jika dibandingkan dengan cerita lipur lara. Walau bagaimanapun, unsur kebetulan memainkan peranan penting dalam cerita ini, terutama sebagai titik perubahan watak utama seperti ‘Bawang Merah’ yang selalu ditindas dengan kejam oleh ibu tirinya iaitu ‘Mak Kundur’ akhirnya mendapat pembelaan.
Cerita teladan ini juga penuh dengan unsur didaktik dan pengajaran pendidikan moral yang diterapkan melalui nilai-nilai murni kepada kanak-kanak dalam aspek peraturan sosial dan agama bak kata pepatah Melayu ‘Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’. Selain itu, watak utama dalam cerita teladan selalunya menanggung penderitaan ,kekejaman, nasib malang, dan penindasan di awal cerita sebelum berlaku. Perubahan nasib, contohnya ‘Bawang Merah’. Antara cerita teladan yang terkenal ialah Bawang Merah Bawang Putih, Batu Belah Batu Bertangkup dan Si Tenggang.

Bawang Putih Bawang Merah

Pak Ali dan isterinya Mak Labu tinggal di sebuah pondok di pinggir hutan. Oleh kerana Mak Labu tidak boleh mengandung, Pak Ali telah berkahwin dengan Mak Kundur. Kemudian, Kundur telah melahirkan anak perempuan yang diberi nama Bawang Putih dan diikuti oleh Mak Labu yang menamakan anaknya sebagai Bawang Merah. Keperibadian Bawang Putih berbeza dengan Bawang Merah yang merupakan seorang anak yang taat, baik hati dan lemah lembut.
            Suatu hari, Pak Ali bersama Bawang Merah telah pergi memancing ikan sembilang dan dalam kejadian itu Pak Ali telah mati disengat oleh ikan sembilang .Kehidupan Mak Labu dan Bawang Merah semakin perit setelah kematian Pak Ali dengan sikap cemburu Mak Kundur yang telah bertekad untuk membunuh Mak Labu. Mak Kundur telah menolak Mak Labu jatuh ke dalam perigi dan Mak Labu telah menjelma menjadi seekor ikan kaloi. Apabila Mak Kundur mengetahui hal ini beliau telah menangkap ikan kaloi tersebut lalu ikan itu dimasak gulai dan diberi makan kepada Bawang Merah.
            Setelah mengetahui hal tersebut, Bawang Merah telah mengutip tulang-tulang ikan tersebut dan ditanam sehingga tumbuh menjadi sebatang pohon beringin berserta buaian. Bawang Merah telah menjadikan pohon tersebut sebagai tempat bermain dan menyanyi. Suatu hari, ketika sedang leka menyanyi di atas buaian tanpa disedari perbuatannya telah diperhatikan oleh Datuk Hulubalang dan Datuk Panglima lantas memaklumkan hal tersebut kepada Raja. Lantaran itu, Raja berhasrat untuk menemui Bawang Merah tetapi bawang putih telah menyamar sebagai Bawang Merah namun diketahui oleh Raja.
            Akhirnya, Bawang Merah telah berkahwin dengan Raja dan ditabalkan sebagai permaisuri. Walau bagaimanapun, Mak Kundur masih berdendam dan dengki terhadap Bawang Merah dan telah membuat pelbagai rancangan yang menimbulkan kemurkaan Raja terhadap Bawang Merah. Namun akhirnya perbuatan Mak Kundur ini diketahui oleh Raja lantas Mak Kundur dan Bawang Putih telah dihalau keluar dari istana.

Nilai-nilai murni :

      1.      Ketaatan
Dalam cerita ini sifat tersebut ditunjukkan oleh watak Mak Labu yang taat pada perintah suaminya dan tidak pernah membantah segala yang diarahkan oleh Pak Ali. Sebagai contoh, Mak Labu patuh akan keputusan Pak Ali yang membawa Mak Kundur iaitu isteri yang baru dikahwininya itu tinggal sebumbung dengannya. Sekiranya difikirkan berdasarkan logika akal adalah mustahil bagi seorang wanita untuk tinggal serumah dengan madunya, namun atas dasar ketaatan terhadap suami Mak Labu menerima dengan ikhlas keputusan suaminya.

         2.      Adil atau tidak berat sebelah
Sikap adil ini jelas kelihatan melalui watak Pak Ali dalam kehidupan rumahtangga. Walaupun Pak Ali mempunyai dua orang isteri iaitu Mak Labu dan Mak Kundur namun Pak Ali dapat membahagikan kasih sayang dan bertanggungjawab terhadap kedua-dua isterinya dengan adil tanpa melebihkan sebelah pihak sahaja. Sekiranya dilihat dari aspek kehidupan semasa, masyarakat yang mengamalkan poligami ini lebih gemar melebihkan isteri muda tetapi berbeza dengan sikap Pak Ali. Sebagai contoh, apabila berlaku pertengkaran di antara Mak Kundur dan Mak Labu, Pak Ali tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi menasihati kedua-duanya agar bersabar dan menyelesaikan masalah itu dengan cara perbincangan. Ini jelas menunjukkan sikap adil Pak Ali dalam hidup berumahtangga.

       3.      Kesabaran
Kesabaran adalah menahan diri dalam menghadapi masalah atau kesulitan agar tidak mudah putus asa dalam menghadapi liku hidup. Jika kita melihat nilai kesabaran yang dipamerkan oleh watak Mak Labu ini kita akan dapat melihat sejauh mana kesabaran itu akhirnya memberi kebahagian terhadap kehidupan anaknya iaitu Bawang Merah walaupun Mak Labu telah di bunuh oleh Mak Kundur. Berdasarkan petikan yang dikaji, sikap kesabaran Mak Labu jelas ditunjukkan apabila dia sering beralah dan berusaha mencari jalan penyelesaian sekiranya berlaku pertengkaran dan ini berbeza dengan sikap Mak Kundur yang keras kepala sering mencetuskan pergaduhan. 

        4.      Baik hati
Sikap baik hati juga ditunjukkan dalam cerita ini yang jelas dipaparkan dalam watak Mak Labu yang sanggup menemui Mak Kundur untuk meminta maaf setiap kali berlaku pergaduhan walaupun hakikatnya dia adalah isteri pertama yang wajar dihormati oleh Mak Kundur. Sikap yang dipamerkan oleh Mak Labu ini menunjukkan yang beliau memiliki keperibadian yang lebih baik berbanding Mak Kundur. Hal ini kerana sebagai isteri kedua Mak Kundur seharusnya menghormati Mak Labu dan bersikap baik terhadap Mak Labu bukan sebaliknya. 

            5.      Kasih sayang
Nilai kasih sayang yang dapat dilihat ialah melalui watak Pak Ali yang menjaga kedua-dua isterinya dengan berhati-hati dan penuh kasih sayang semasa isteri-isterinya sedang mengandung. Pak Ali sanggup menjaga Mak Labu dan Mak Kundur sehingga mereka selamat melahirkan bayi perempuan yang sangat comel. Watak Pak Ali jelas menunjukkan kesanggupan seorang suami menjaga isterinya disebabkan rasa cinta dan sayang akan isterinya.

        6.      Keikhlasan
Sikap ikhlas ini ditunjukkan oleh watak Mak Labu yang ikhlas membenarkan Pak Ali berkahwin dengan Mak Kundur. Sikap Mak Labu yang sanggup merelakan suaminya berpoligami adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam kehidupan bermasyarakat bahkan untuk seorang suami mendapat keizinan daripada isterinya adalah di anggap suatu yang mustahil kini. Seharusnya sikap Mak Labu ini patut dipandang tinggi oleh masyarakat dan dijadikan contoh dalam kehidupan.

6.0       CERITA BINATANG

Cerita binatang Melayu adalah merupakan sastera rakyat(sastera lisan) yang disampaikan atau disebarkan secara lisan dari satu generasi kepada generasi yang akan datang. Cerita binatang ini dipercayai cerita tertua, sama usianya dengan cerita asal usul. Cerita binatang ialah hasil sastera lisan yang diwarisi daripada masyarakat manusia sejak zaman purba semasa manusia masih lagi hidup di gua-gua. Adapun cerita binatang ini sukar untuk menentukan tentang asal usul cerita binatang itu yang sebenarnya. Cerita-cerita binatang Melayu mengambil binatang sebagai watak utama yang dipersonifikasikan, binatang diceritakan dan berinteraksi dengan manusia.
            Cerita binatang untuk mengisikan waktu dan menghiburkan hati, pada masa kini cerita binatang adalah cerita yang menjadi kegemaran dalam masyarakat sederhana khususnya di kalangan kanak-kanak dan kini cerita binatang ditulis menjadi bahan bacaan yang diminati oleh kanak-kanak. Selain itu cerita binatang juga digunakan sebagai mengajar, mendidik, menyindir atau mengkritik masyarakat Melayu tradisional. Tujuan-tujuan ini disampaikan dalam bentuk kiasan, sindiran dan lambang. Tetapi yang nyata, cerita-cerita binatang Melayu berfungsi sebagai kritikan social yang disampaikan secara kiasan atau lambang kepada binatang.
            Kadang-kadang disampaikan secara gurauan tetapi tepat pada sasarannya. Ada juga cerita binatang yang menunjukkan kebodohan, dan kemalasan manusia untuk menyuruh menyedari dan memperbaiki diri dikiaskan kepada binatang. Pada masa dahulu cerita-cerita binatang ini pernah digunakan untuk mengajar anak-anak raja atau anak-anak pembesar istana. Oleh kerana kesukaran untuk menyampaikan pengajaran itu secara terus terang, maka pengajaran itu diberikan secara halus melalui cerita-cerita binatang yang bercorak simbolik. Tujuannya untuk memberikan petunjuk dan nasihat kepada kanak-kanak secara halus dan tidak langsung.

Monyet dan ikan lumba-lumba

Pada zaman dahulu, terdapat seorang pelayar yang baik hati. Dia suka mengembara ke serata tempat. Dia juga sering membawa seekor monyet kesayangannya. Pada suatu hari pelayar itu pergi belayar bersama keluarganya. Dia juga membawa monyet kesayangannya.
            Semasa dalam pelayaran, tiba-tiba angin bertiup kencang dan laut bergelora. Ribut yang kuat menyebabkan kapal itu karam. Semua di dalam kapal itu meninggal dunia akibat lemas. Hanya seekor monyet terselamat. Ia berpaut pada sebatang kayu.
            Ketika monyet terumbang-ambing dipukul ombak yang besar, tiba-tiba seekor ikan lumba-lumba menghampirinya. ''Wahai monyet, saya kasihan melihat kamu. Naiklah ke atas belakang saya, saya akan bawa kamu ke tempat yang selamat", kata ikan lumba-lumba.
            "Terima kasih kerana selamatkan saya,'' kata monyet. Monyet terus naik ke atas belakang ikan lumba-lumba. Ikan lumba-lumba membawa monyet menuju ke darat. Sebelum sampai ke darat, mereka melalui sebuah pulau. Ketika melalui pulau tersebut, monyet mempermainkan ikan lumba-lumba.
            ''Kamu tahukah, di pulau inilah seorang rakan saya menjadi raja. Ia memerintah rakyat di pulau ini dengan adil. Rakyat hidup dengan aman dan gembira. di pulau ini juga terdapat makanan yang banyak,'' kata monyet. Ikan lumba-lumba hanya terdiam mendengar kata-kata monyet. Ia tahu monyet cuba mempermainkan dirinya. Ikan lumba-lumba tahu pulau itu tidak terdapat manusia ataupun haiwan. Ikan lumba-lumba ingin mengenakan monyet pula. Ia membawa monyet ke pulau itu.
            ''Saya rasa, eloklah kamu tinggal di sini. Kamu tentu boleh hidup senang -lenang di pulau ini,'' kata ikan lumba-lumba. Ikan lumba-lumba meninggalkan monyet di situ dan terus pergi dari situ.
            Tinggallah monyet keseorangan di pulau itu. Monyet menangis kerana menyesali kesilapannya. Ia sepatutnya tidak bercakap yang bukan-bukan kepada ikan lumba-lumba yang telah menolongnya.

Nilai-nilai Murni :

           1.      Baik hati
Cerita ini memaparkan nilai baik hati pada watak ikan lumba-lumba. Ikan lumba-lumba melihatmonyet terkapar-kapar di tengah laut dan hanya berpaut pada sebatang kayu. Tanpa berfikir panjang, ikan lumba-lumba pergi menghampiri monyet dan bertanya hal yang berlaku padanya. Monyet menceritakan segalanya yang menimpanya dan ikan lumba-lumba memberi pertolongan. Ikan lumba-lumba menunjukkan sifat yang baik hati kerana sukarela memberikan pertolongan kepada monyet walaupun tidak mengenali monyet. Nilai ini perlu diikuti oleh murid-murid sama seperti yang ditunjukkan oleh ikan lumba-lumba kerana jika seseorang sentiasa bersikap baik hati sudah tentu orang lain akan menyenangi kehadiran kita serta suka berkawan dengan kita.

        2.      Berani
Ikan lumba-lumba menunjukkan sifat yang berani dalam cerita ini. Kapal yang dinaiki oleh monyet telah pecah dan karam di tengah lautan kerana dipukul ombak yang sangat kuat. Monyet terkapar-kapar di tengah lautan dan dilambung ombak yang sangat kuat sehingga monyet semakin tidak berdaya. Ikan lumba-lumba menunjukkan sifat yang sangat berani kerana dia sanggup mengharungi ombak yang besar dan sangat kuat untuk menghampiri monyet dan menyelamatkan monyet daripada mati di tengah lautan. Sifat berani seperti yang ditunjukkan oleh ikan lumba-lumba harus diikuti oleh murid-murid. Kita perlu mempunyai sikap yang berani untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Sikap berani juga perlu untuk mempertahankan kedudukan diri dan orang lain. 

           3.      Bijak
Dalam cerita ini, nilai bijak ditunjukkan oleh ikan lumba-lumba. Selepas menyelamatkan monyet, ikanlumba-lumba membawa monyet menuju ke darat. Sepanjang perjalanan dari laut menuju ke darat, monyet terlihat sebuah pulau dan memberitahu ikan lumba-lumba bahawa di pulau itu ada seorang rakannya yang menjadi raja. Pulau itu kononnya diperintah dengan adil oleh rakannya dan pulau itu mempunyai bekalan makanan yang sangat banyak. Monyet sebenarnya cuba mempermainkan ikan lumba-lumba. Namun, ikan lumba-lumba bijak kerana hanya aku mendengar cerita monyet sahaja tanpa berkata apa-apa. Ikan lumba-lumba mendapat satu akal yang bijak untuk memberi pengajaran kepada monyet. Ikan lumba-lumba tahu di pulau itu tiada sesiapa pun yang hidup dan ikan lumba-lumba menghantar monyet ke pulau itu. Monyet menyesali kerana cuba mempermainkan dan menipu ikan lumba-lumba yang telah berjasa dengan dia. Sifat bijak yang ditunjukkan oleh ikan lumba-lumba perlu dicontohi kerana kalau kita bijak kita tidak akan mudah diperdaya dan ditipu oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, murid-murid patut belajar rajin-rajin dan menjadi orang yang bijak.

7.0       PUISI KANAK-KANAK

Puisi memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari perkataan baru, idea, sikap dan pengalaman kehidupan menerusi kaca mata penyair. Jika anda masih ingat cara belajar mengingati hari, nombor dan abjad. Tentunya nyanyian klasik kanak-kanak lagu ABC tentunya terlintas di fikiran. Banyak orang yang menghafal puisi mudah semasa kanak-kanak dalam bentuk lagu seperti,"Keretaku," "Bang Selebu," dan puisi teka teki.
            Puisi mempunyai bentuk dan aturannya tersendiri. Puisi adalah bentuk metrikal komposisi imaginasi perkataan yang dipilih dan diluahkan untuk mencipta kekuatan yang selalunya sesuatu yang indah didengar dan irama yang menyeronokkan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak gemar belajar di taska dan tadika kerana di sana mereka diajar cara menghafal puisi yang mempunyai rangkap yang pendek dan sesuai untuk kanak-kanak.

Syair Titipan Ayahanda
Dengarkan sayang  ayahanda berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Nasihat Kebajikan ayahanda beri,
Amalkan jangan malas dan ngeri.

Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda menjadi raja,
Hati yang betul hendak disahaja,
Serta rajin pada bekerja.
Kerja kebajikan janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Bak air di dalam gelas.

Menuntut ilmu janganlah segan,
Ilmu yang benar jangan yang bukan,
Iaitu ilmu yang kebajikan,
Di kitab ini sudah disebutkan.

Hendaklah anakanda mengaji selalu,
Dari yang lain lebihkan dulu,
Had syarak jangan dilalu,
Tidaklah anakanda beroleh malu.

Segala perbuatan dengan berilmu,
Maka kebajikan boleh bertemu,
Jika sebarang barang ditemu,
Akhirnya anakanda jatuh tersemu.

Ilmu itu besar faedahnya,
Membezakan hak dengan yang batil,
Mengetahui rakyat benar salahnya,
Supaya dihukum dengan adilnya.

Jika ilmu tidak diendah,
Sebab anakanda capak permudah,
Rakyat datang membawa gundah,
Anakanda tercengang tunduk tengadah.


Nilai – nilai murni :

        1.      Kerajinan
Nilai kerajinan dalam sajak ini dapat dilihat pada rangkap kedua. Penyair mengetengahkan kepentingan nilai kerajinan. Penyair mengungkapkan bahawa sifat kerajinan perlu ada dalam setiap diri manusia dalam melakukan sebarang pekerjaan semoga peroleh kejayaan. Daya usaha ,berusaha bersungguh-sungguh dengan inisiatif, kreatif dan inovatif akan menghasilkan sesuatu yang berkualiti

     2.      Ikhlas 
Pada rangkap ketiga penyair menekankan nilai keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara. Penyair ada menyatakan dalam rangkap empat syair ini bahawa setiap kebajikan atau pertolongan yang kita lakukan untuk seseorang perlu dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada mereka. Melakukan sesuatu dengan suci hati tanpa mengharapkan balasan.

      3.      Hormat
Sebagai seorang anak, kita perlu mempunyai rasa hormat terhadap kedua-dua ibu bapa kita. Kita memuliakan dan mentaati ibu bapa kerana mereka telah mendidik kita mengenal dunia dan telah berkorban segala-galanya untuk membesarkan kita.

     4.      Berilmu
Pada rangkap empat hingga lapan dalam syair ini, penyair hanya menyebut mengenai ilmu dan kehidupan seorang remaja. Menurut penyair, ilmu sangat penting dan perlu ada dalam setiap diri manusia. Penyair mengajak remaja supaya menuntut ilmu setinggi yang boleh kerana ilmulah yang membimbing manusia dalam membentuk kehidupannya sama ada bercorak positif mahupun negatif. Nilai berilmu dalam syair ini jelas ditonjolkan oleh penyair supaya dapat memberi kesedaran kepada khalayak. Penting menuntut ilmu dalam hidup kerana berguna pada masa depan.


      5.       Rasional
Penyair juga turut menyelitkan nilai rasional dalam syair ini. Apabila penyair menyentuh tentang kehidupan manusia yang perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, secara tidak langsungnya kita perlu faham bahawa setiap tindakan yang ingin dilakukan mestilah didahului dengan pertimbangan pemikiran yang rasional. Justeru, sebagai manusia yang sering melakukan sesuatu perkara yang melibatkan kehidupannya, perlulah mempunyai nilai rasional dalam diri supaya tidak mendapat malu dan rugi kelak. Manusia perlu berupaya mengambil kira baik buruknya sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.

8.0       KESIMPULAN

Genre sastera tradisional pada dasarnya terkandung nilai-nilai insan yang banyak terutamanya berkaitan dengan kehidupan masyarakat yang harmoni. Biasanya, penulis-penulis karya ini telah menulis karya berdasarkan adat, amalan dan kehidupan masyarakat terdahulu yang boleh dijadikan ikutan dan amalan masyarakat sekarang. Sesungguhnya kehidupan masyarakat dahulu penuh dengan adat kesusilaan dan sopan santun. Sebagai pendidik kepada anak bangsa, kita seharusnya menggunakan nilai-nilai yang terkandung dalam karya-karya sastera tradisional ini untuk membina modal insan pelajar.
            Pihak sekolah dan guru perlu memainkan peranan yang penting dalam pembangunan nilai insan pelajar. Kepelbagaian jenis dan budaya sekolah yang wujud haruslah menekankan amalan murni ke arah pembentukan nilai sahsiah diri dan modal insan pelajar. Guru yang mengajar dan mempunyai pengalaman mengajar yang banyak seharusnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan modal insan pelajar . Personaliti guru haruslah memberi gambaran dan kesedaran tentang nilai serta moral kepada pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Hasil keprihatinan guru terhadap penerapan nilai dan moral akan memberi sesuatu yang positif dalam pembangunan nilai pelajar.
            Dalam konteks masyarakat Malaysia pada hari ini, hal ini menjelaskan betapa sikap taat setia kepada pemerintah dan adil kepada masyarakat bawahan di samping menjaga hubungan baik dengan Allah adalah merupakan satu elemen penting dalam proses pembinaan modal insan dan sahsiah diri yang baik, yang seterusnya jadi pemangkin dalam proses melahirkan kemakmuran negara, bersesuaian dengan prinsip Rukun Negara, yang menuntut rakyat percaya kepada Tuhan, memberikan kesetiaan Kepada Raja dan Negara (Raja dan rakyat berpisah tiada) dan menjaga kesopanan dan kesusilaan banyak diungkapkan menerusi karya tradisional.

Rujukan
Alaf Teras, (2009). e-Kamus Professional Edition. Selangor : Alaf Teras Trading

Misran Rokimin dan Zubir Idris, (2012). Modal insan melayu : Ikhtibar dari pesuratan.       Diperoleh     pada April 12, 2014 daripada             http://www.ukm.my/jmelayu/images/jurnal/9/artikel%204.pdf

Mohamad Khairi Othman dan Asmawati Suhid, (2011). Peranan sekolah dan guru dalam            pembangunan pelajar menerusi penerapan nilai murni : satu sorotan. Diperoleh pada        April 16, 2014 daripada             http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/23385/Artikel_9.PDF

Penyelenggara Majlis Peperiksaan Malaysia, (2009). Mutiara sastera melayu tradisional.    Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan